Strategic Partners

Program Integrasi Lengkap Rantaian Bekalan Ayam Daging yang
Halal Bersih dan Bermutu menerusi Ramly Poultry Integrator Sdn Bhd

Kumpulan Ramly adalah sebuah syarikat industri makanan sejuk beku dengan produk keluaran jenama RAMLY berasaskan Halal, Bersih dan Bermutu yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1984. Perusahaan ini telah berkembang dengan pesatnya dari sebuah kilang yang beroperasi di Bandar Tun Razak dan kini di Taman Perindustrian IKS Mukim Batu, Kuala Lumpur. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sebuah kilang utama yang memiliki peralatan mesin serba canggih dan berprestasi tinggi bernilai hampir RM 1 billion di jangka akan memulakan operasinya di Selangor Halal Hub, Pulau Indah pada pertengahan tahun 2019.

Ramly Poultry Integrator Sdn. Bhd. sedang menjayakan program integrasi lengkap rantaian bekalan ayam yang halal, bersih dan bermutu yang mana di ketuai oleh anak pengasas Kumpulan Ramly sendiri iaitu Pn. Siti Hayu bt Dato’ Dr. Hj. Ramly.

Ini adalah hasil inisiatif bersama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), di bawah geran permulaan Program Pembangunan Ekosistem Halal Poultry sebanyak RM 20 juta dimana Ramly berhasrat untuk menjadi sebuah syarikat Bumiputera pertama yang mempunyai Rangkaian Ekosistem Industri Halal Poultry yang dilengkapi dengan kilang makanan ayam, pusat penetasan telur, ladang ternakan ayam dan juga pusat penyembelihan ayam.

Ramly komited untuk menyediakan platform kepada para usahawan untuk menyertai program penternak kontrak ayam daging Bumiputera bersama Ramly di mana para usahawan yang terpilih akan membekalkan ayam daging kepada pusat penyembelihan ayam Ramly yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2020.

Ramly mensasarkan untuk mempunyai sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam yang moden, sepenuhnya automatik dan menggunakan teknologi terkini yang akan melibatkan pelaburan melebihi RM 80 juta. Pusat penyembelihan ayam tersebut akan dapat memproses ayam pada kapasiti 96,000 ekor sehari atau 2.5 juta ekor sebulan sebagai permulaan dan boleh di perbesarkan sehingga 192,000 ekor sehari atau 4.9 juta ekor sebulan pada masa hadapan.

Menerusi program ini juga, Kumpulan Ramly menyahut hasrat kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,
untuk menjadikan pertanian sebagai sektor ekonomi strategik untuk pertumbuhan ekonomi dan juga menjamin keselamatan makanan negara. Ini kerana, program ini dapat mewujudkan kesan ekonomi berganda dengan wujudnya penternak moden muda luar bandar. Oleh itu, pendapatan petani yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar B40 dapat ditingkatkan kepada sasaran sekurang-kurangnya RM 4000 sebulan boleh dicapai.